BEBERAPA hari lepas kecoh di laman sosial kisah seorang lelaki tua yang mencari rezeki dengan mengenakan sut Winnie the Pooh di sekitar kawasan Lippo Mall Sidoarjo, Jawa Timur.

Kisah lelaki tersebut, yang dikenali dengan nama Suardi, 74 tahun, berjaya mengundang simpati bukan sahaja masyarakat Indonesia, tetapi juga kita di Malaysia.

Suardi diberitakan seorang lelaki tua yang hidup sebatang kara dan pernah diserang strok dua tahun lepas.

Apa pun, siapa sangka ada kisah lain di sebalik cerita sedih Suardi ini. Selepas menerima liputan media, pihak berkuasa Indonesia membuat siasatan dan apa yang diperolehi mereka amat mengejutkan.

Laporan Merdeka.com menyatakan, hasil siasatan Dinas Sosial dan Tenaga Kerja (Dinsosnaker) Indonesia, Suardi bukanlah hidup sebatang kara sebaliknya mempunyai lima orang anak dan tujuh orang isteri.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ketujuh-tujuh isterinya itu masih ada bersamanya atau tidak.
Dalam sehari, Suardi berjaya memperolehi kira-kira Rp 500 ribu (RM140) melalui tugasnya menghiburkan kanak-kanak dengan memakai sut watak kartun terkenal itu.

Laporan itu juga menyebut Suardi memiliki sebuah rumah di Mojokerto dan sebuah motosikal Yamaha Vixion.

Hasil pemeriksaan kesihatan pula mengesahkan Suardi tidak menghidap sebarang masalah kesihatan.