Wilayah Victoria di Australia mencatatkan lebih 200 kes baharu COVID-19 buat pertama kali dalam masa tiga hari.

Pada Ahad, wilayah itu merekodkan 208 kes baharu dengan 17 kematian.

Kematian terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban akibat covid-19 di Australia kepada 502 dengan 415 di Victoria.

Ketua Menteri Victoria, Daniel Andrews melaporkan lebih 20,000 individu telah diuji di Melbourne pada Sabtu walaupun cuaca kurang baik pada hari tersebut.

Penduduk Melbourne diberitahu bahawa mereka harus memakai pelitup muka di khalayak ramai, meskipun peraturan kawalan ketat akan dilonggarkan bulan depan.