PHNOM PENH: Myanmar berada di barisan hadapan pemuliharaan harimau di Asia Tenggara, mempamerkan komitmen yang luar biasa terhadap pemeliharaan populasi harimau Benggala.

Di sebalik pelbagai cabaran domestik yang mendesak, negara itu berjaya mengekalkan kira-kira 20 ekor harimau Benggala, juga dikenali sebagai harimau India - bukti kepada program pemuliharaan yang berkesan.

Pakar menganggarkan hanya terdapat 5,711 ekor harimau Benggala di dunia setakat tahun lalu selepas banyak kucing besar itu menjadi mangsa pemburuan haram untuk mendapatkan bahagian badan mereka.

Kerajaan Myanmar dengan tegas mengutamakan perlindungan harimau berkarisma di Santuari Hidupan Liar Htamathi, yang terletak di wilayah utara Sagaing, yang konflik bersenjata sedang berlaku.

"Adalah berita baik bahawa Myanmar berjaya memiliki jumlah ini dan rancangan pemulihan mereka luar biasa. Mereka mampu berdikari.

"Populasi harimau akan meningkat kerana mereka mempunyai komitmen yang kuat terhadap pemuliharaan harimau," kata Setiausaha Agung Forum Harimau Global (GTF) yang berpangkalan di New Delhi, Dr Rajesh Gopal kepada Bernama dalam temu bual telefon.

Media kerajaan Myanmar, The Global New Light of Myanmar, melaporkan bahawa pekerja jabatan perhutanan tempatan melindungi harimau dan memantau populasi haiwan itu dengan tekun.

"Santuari Hidupan Liar Htamathi mempunyai harimau Benggala, beruang, mamalia dan burung, jadi, kami melindungi seluruh kawasan itu. Jika kita mempunyai penyertaan awam yang kuat, ia boleh menjamin kelestarian santuari," kata warden santuari U Win Hlaing, lapor media kerajaan.

Jabatan perhutanan memasang 24 perangkap kamera di 12 lokasi tahun lepas dan jumlah yang sama tahun ini untuk mengesan pergerakan harimau.

Rajesh mengetuai pasukan GTF ke negara itu untuk mereka bentuk strategi "Pelan Tindakan dan Tapak Keutamaan Harimau Myanmar" pada 2017. Pertubuhan itu komited untuk mempromosikan kempen global untuk menyelamatkan harimau, mangsanya dan habitatnya.

Myanmar, yang berkongsi sempadan darat sepanjang 1,643 kilometer dengan negeri timur laut India, adalah antara ahli terawal GTF yang menyertai badan itu pada 1994.

India mempunyai populasi harimau terbesar di dunia dengan 3,682 ekor.

Harimau Benggala (Panthera tigris) adalah spesies terancam dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Koridor harimau utama meliputi India, Bangladesh, Bhutan, Kemboja, China, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Nepal, Rusia, Thailand dan Vietnam.

Di Asia Tenggara, sehingga Oktober tahun lepas, Indonesia mendahului pakatan itu dengan 393 ekor harimau, Thailand (201) dan Malaysia (150).

Kemboja dan Vietnam telah kehilangan stok harimau mereka, menurut pakar hidupan liar dan kerajaan mereka melabur dalam program pemuliharaan untuk menghidupkan semula populasi harimau.

Bilangan harimau Benggala semakin menurun di seluruh dunia disebabkan oleh pembandaran pesat, kehilangan habitat dan pemburuan haram. Cakar, tulang, gigi, kuku dan kulit mereka sering digunakan dalam penyediaan perubatan tradisional.

"Di Asia Tenggara, Myanmar bernasib baik kerana mempunyai harimau dan komitmen kuat mereka terhadap pemuliharaan telah menyumbang kepada jumlah harimaunya.

"Myanmar perlu melaksanakan beberapa langkah untuk melindungi harimaunya. Ia memerlukan agenda yang inklusif - bekerjasama dengan angkatan tentera untuk melindungi hutan; melibatkan masyarakat tempatan untuk mempromosikan pengawasan masyarakat dan menyediakan habitat yang selamat. Habitat yang terdedah lebih banyak membahayakan harimau, seperti perlombongan kecil-kecilan di sepanjang sungai.

"Ia juga mesti mewujudkan pakatan antarabangsa untuk memastikan keselamatan harimau; menghentikan pencerobohan oleh individu yang tidak bertanggungjawab dan menamatkan pemerdagangan bahagian badan harimau," kata Rajesh.

-- BERNAMA