BUENOS AIRES: Rakyat Uruguay keluar mengundi bagi memilih presiden baharu mereka pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Menurut tinjauan terkini, Yamandu Orsi daripada pakatan sayap kiri Frente Amplio mendahului pesaingnya Alvaro Delgado daripada parti pemerintah konservatif, Partido Nacional.

Seramai 11 calon bersaing untuk jawatan presiden. Penyandang Luis Lacalle Pou dilarang perlembagaan Uruguay daripada bertanding semula.

Jika tiada calon mencapai majoriti mutlak, dua calon yang memperoleh undian terbanyak akan bertanding pada pemilihan akhir pada 24 November.

Sekiranya dipilih, Orsi daripada parti haluan kiri berikrar mahu memerangi kemiskinan di negara kecil Amerika Selatan yang mempunyai kira-kira 3.4 juta penduduk ini dan mengambil tindakan tegas terhadap rasuah.

Delgado yang konservatif pula mengumumkan, dia akan meneruskan dasar kerajaan sebelum ini dan mengurangkan birokrasi.

Menurut tinjauan, rakyat Uruguay mahu keadaan keselamatan, ekonomi dan ketersediaan pekerjaan diberi perhatian oleh kerajaan.

Selain pemilihan presiden, kesemua 30 senator dan 99 ahli parlimen juga akan dipilih pada Ahad.

Terdapat juga dua referendum untuk diundi : satu untuk menurunkan umur persaraan daripada 65 kepada 60 tahun dan satu lagi, untuk membenarkan polis menggeledah rumah persendirian pada waktu malam.

-- BERNAMA