URUGUAY melangkah ke separuh akhir Copa America selepas menumpaskan Brazil dalam penentuan sepakan penalti yang berlangsung di Stadium Allegiant, sebentar tadi.

Suhu perlawanan kian hangat sepanjang 90 minit permainan susulan kedua-dua pasukan sering merencanakan serangan bertali arus mengasak kubu pertahanan lawan untuk mendahului kedudukan namun, keputusan kekal seri tanpa gol sehingga tamat aksi.

Juara Piala Dunia lima kali itu gagal menyudahkan peluang menerusi Eder Militao dan Douglas Luiz yang tidak menyempurnakan sepakan penalti untuk memberi kelebihan buat Uruguay.

Manuel Ugarte menjadi wira Uruguay selepas berjaya membolosi gol melalui sepakan penalti terakhirnya yang membawa pasukan itu ke peringkat seterusnya.

Selepas ini, Uruguay akan bertemu Columbia yang mengalahkan Panama 5-0 di perlawanan separuh akhir untuk memperlihatkan siapakah yang akan ke perlawanan akhir, Khamis ini.

*Artikel disiarkan di Stadium Astro