BANGKOK: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menyelar tindakan Thailand menghantar pulang tiga pelarian Kemboja kerana ia disifatkan bertentangan dengan prinsip tiada penghantaran pulang paksa.

Penolong Pesuruhjaya Tinggi bagi Perlindungan UNHCR Gillian Triggs berkata agensi pelarian itu bimbang dengan trend penghantaran pelarian secara paksa ke Kemboja kerana mereka berdepan risiko penganiayaan yang serius.

"Kami bimbang terhadap keselamatan pelarian Kemboja yang diiktiraf UNHCR di Thailand. Kami menggesa Thailand tidak menghantar pelarian yang diiktiraf pulang serta mematuhi kewajipan antarabangsa.

"UNHCR akan terus menawarkan sokongan kepada kerajaan itu dalam memastikan perlindungan mereka yang memerlukan di Thailand," katanya dalam satu kenyataan.

Di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, prinsip tiada penghantaran pulang paksa (non-refoulement) menjamin bahawa tiada sesiapa pun harus dihantar pulang ke negara yang nyawa atau kebebasan mereka akan terancam.

Menurut Human Rights Watch, bekas ketua komun, Thavry Lanh yang melarikan diri ke Thailand lebih empat tahun lalu dihantar pulang ke Kemboja pada Sabtu lepas.

Media tempatan melaporkan beliau ditahan pegawai imigresen Thailand di bandar di sempadan timur pada Jumaat dan dihantar ke Kemboja pada keesokan hari.

Agensi Pelarian PBB itu kesal dengan pengusiran Thavry Lanh yang berlaku hanya 10 hari selepas pihak berkuasa menghantar pulang dua lagi pelarian Kemboja.

UNHCR meminta penjelasan pihak berkuasa Thailand berhubung insiden itu. Thailand dan Kemboja mencapai persetujuan untuk bertukar 'pelarian' pada 2018.

-- BERNAMA