NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranannya dengan lebih inklusif dan berkesan dalam menangani isu serta konflik semasa yang melatari dunia hari ini.

Menerusi penampilan terakhirnya di pentas Perhimpunan Agung PBB kali ke-79 pada Selasa, Biden berkata, PBB perlu beradaptasi dengan membawa suara dan perspektif yang baharu.

Malah Biden juga menyeru agar Majlis Keselamatan PBB kembali ke landasan asal dalam menjalankan tugas memastikan keamanan dapat dicapai sepenuhnya.

‘"PBB perlu menyesuaikan diri dan membawa suara serta perspektif baharu. Itulah sebabnya kami (Amerika Syarikat) menyokong reformasi dan pertambahan keanggotaan dalam Majlis Keselamatan PBB.

"Sudah tiba masanya kita maju ke hadapan dan Majlis Keselamatan PBB perlu kembali ke paksi sebenarnya dalam mewujudkan perdamaian serta menjalinkan perjanjian bagi mengakhiri perang juga penderitaan.

"PBB perlu bertindak dalam usaha menghentikan pengedaran senjata berbahaya dan menstabilkan kawasan bermasalah dari Afrika Timur ke Haiti hingga Kenya," katanya.

Selain itu, Biden turut menekankan kepentingan serta peranan PBB dan global untuk mempersiapkan masyarakat dunia mendepani cabaran perubahan teknologi yang kini tiada sempadan seperti kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ini kerana ujarnya, kemajuan teknologi AI pada masa hadapan masih sukar diramal dan selain sejauh mana ia sebenarnya mampu memberi kesan kepada kehidupan.

Beliau menyeru agar pemimpin dunia membentuk satu usaha sama dalam memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan teknologi AI selain memastikannya memenuhi keperluan serta mengekalkan nilai kemanusiaan.

"Kita akan melihat lebih banyak perubahan teknologi dalam dua sehingga sepuluh tahun akan datang berbanding dalam 50 tahun lalu.

"Kecerdasan buatan akan mengubah cara hidup, bekerja dan berperang. Ia boleh membawa kemajuan saintifik yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan banyak daripadanya boleh memperbaiki kehidupan kita.

"Namun, AI juga membawa risiko, daripada pemalsuan yang mampu mewujudkan maklumat palsu, patogen baru dan senjata biologi. Pada tahun-tahun mendatang, tidak ada ujian yang lebih besar bagi kepimpinan kita daripada cara kita menangani AI," ujarnya.

ENDS