KUALA LUMPUR: Perancangan pembangunan bandar di Malaysia perlu mempertahankan identiti negara ini terutamanya dalam aspek kesenian dan kebudayaan, walaupun menggunakan teknologi canggih.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain mengutamakan perancangan yang teratur dan tersusun, bandar di negara ini juga wajar dikenali dengan corak serta keunikannya tersendiri berbanding kota besar lain seperti London dan Jepun.

Selain itu, beliau berkata perancangan bandar juga perlu mengambil kira persekitaran hijau dan keselesaan rakyat, agar tiada jurang dalam kalangan masyarakat.

"Kita perlu jadikan Malaysia ini susuk bandarnya yang unik dan tersendiri, jadi saya gesa saudara (perancang bandar) beri perhatian lebih, supaya barulah boleh kita bangga dengan pembangunan yang menyeluruh.

"Ini cabaran buat saudara, apa lagi penemuan cara penyusunan dan pengurusan serta perancangan kini menggunakan kekuatan digital dan AI (kecerdasan buatan) dengan mengambil kira semua aspek, jangan ada kota yang mengekalkan jurang antara kelompok yang sangat berjaya dan kaya dengan masyarakat biasa," kata beliau.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Perancangan 2024, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Perdana Menteri dalam pada itu turut menggesa semua pihak untuk memanfaatkan masa dan peluang yang ada bagi memberi tumpuan penuh kepada agenda pembangunan negara.

"Berikan tumpuan kepada isu pembangunan, perubahan dan anjakan yang berlaku, kita perlu fokus kepada pembangunan negara kita, politik perlu kuat dengan polisi ekonomi yang jelas dan kita perlu cuba yang terbaik untuk memperbaiki dan meningkat dalam setiap satu bidang.

"Jadi rakyat Malaysia di semua peringkat termasuk perancang dan kakitangan awam, elitis politik, komuniti perniagaan, kita perlu ambil kira apa yang berlaku kerana kita berhadapan dengan masa pascanormal, begitu banyak ketidakpastian," kata beliau.

Anwar dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada Abang Johari yang dinobat sebagai penerima Anugerah Felo Kehormat Pertubuhan Perancang Malaysia pada majlis itu, dengan menyifatkannya sebagai seorang tokoh berwawasan tinggi untuk membangunkan negeri Sarawak.

"Abang Jo ini tokoh yang telah buktikan sekiranya politik itu stabil, pimpinan tumpu perhatian kepada pembangunan negeri, boleh fikir dan teroka idea serta dasar baru, tak terikat duduk dalam kepompong lama tapi sering cari jalan.

"Hasilnya soal tenaga, dapat pulangan yang munasabah untuk negeri, pemimpin itu jika ada wawasan dan pemahaman dan berupaya menggerakkan seluruh kekuatan dan tenaga yang ada termasuklah jentera kerajaan bekerjasama dengan swasta, universiti, ini akan dapat melaksanakan cita-cita," katanya.

-- BERNAMA