LONDON: Sebahagian besar kawasan di Britain dijangka dilanda salji lebat dan hujan berais pada hujung minggu ini selepas suhu mencecah serendah -5 darjah Celsius semalaman, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Kenderaan terkandas di jalan raya serta perjalanan kereta api dan udara yang tertunda atau dibatalkan dijangka berlaku kerana UK menghadapi keadaan cuaca musim sejuk yang berlanjutan selama seminggu, menurut Pejabat Meteorologi.

Data awal menunjukkan Rostherne di Cheshire dan Yeovilton di Somerset mencatatkan suhu serendah - 5 darjah Celsius semalaman, hampir menyamai ramalan sebelumnya yang menyatakan suhu mungkin jatuh serendah -8 darjah.

Di Scotland, Eskdalemuir di Dumfries dan Galloway turut mencatatkan suhu sejuk yang sama, mencapai -5 darjah pada 11 malam (2300 GMT) Khamis lalu.

Suhu terendah yang direkodkan pada Januari tahun lalu adalah -14 darjah di Dalwhinnie di Dataran Tinggi Scotland.

Amaran kuning untuk salji dan ais dikeluarkan dari 12 tengah hari pada Sabtu hingga 9 pagi pada Isnin meliputi kebanyakan kawasan di England dan Wales sementara amaran berasingan untuk salji lebat dari tengah malam Ahad hingga 12 tengah hari Isnin dikeluarkan untuk kebanyakan kawasan di tanah besar Scotland.

Barat laut England, Scotland, Wales Utara dan Ireland Utara turut diberikan amaran kuning baharu untuk permukaan berais, dari 4 petang Jumaat hingga 10 pagi Sabtu.

Perjalanan mungkin tertunda dengan "sedikit kemungkinan" gangguan bekalan elektrik dan kecederaan akibat tergelincir atau jatuh di permukaan berais, menurut ramalan cuaca.

-- BERNAMA