Twitter Inc. mengumumkan pelannya untuk membuka sebuah pejabat di Jakarta dalam masa tidak sampai enam bulan akan datang, lapor laman web berita Tempo.co.

Presiden Perkongsian dan Hasil Global, Adam Baim berkata syarikat itu memilih Indonesia kerana republik itu sekarang sudah jadi pasar utama Twitter ekoran pertumbuhan penggunannya yang memberangsangkan.

“Orang Indonesia telah menggunakan Twitter untuk berbagai agenda," katanya seperti dipetik oleh portal berita itu.

Twitter kini mempunyai pejabat Asia Pasifik di Seoul, Tokyo, Sydney dan Singapura.

Menurut Baim, selain keadaan pasaran yang memberangsangkan, Indonesia jadi pilihan kerana kemampuannya mengekalkan tahap keselamatan selepas pemilihan presiden baru-baru ini.

Berdasarkan laporan Twitter pada 2013, Indonesia mempunyai 29 juta pengguna jaringan media sosial itu menjadikannya negara kelima selepas Amerika Syarikat, Brazil, Jepun dan United Kingdom.

Jakarta kini juga merupakan bandar raya dunia dengan pengguna Twitter terbanyak mengatasi Tokyo dan London.