Menteri Pertahanan Turki, Ismet Yilmaz menafikan laporan yang mendakwa beberapa tentera Turki telah diarahkan untuk masuk ke kawasan Syria pada hujung minggu lalu, menurut laporan Reuters.

Jelasnya, Ankara tidak pernah mempunyai rancangan untuk menghantar jentera tenteranya ke kawasan jirannya.

Sebelum ini kerajaan Syria menyatakan beberapa anggota tentera Turki terlibat dalam operasi memberi bekalan kepada kumpulan pemberontak untuk menentang Damsyik.

Dalam kenyataan itu turut mendakwa tentera Turki berkenaan merupakan antara 100 lelaki bersenjata, yang telah memasuki Syria pada Sabtu, temasuk dengan membawa trak yang dilengkapi dengan senjata mesingan.

"Ianya tidak benar. Tidak pernah ada rancangan bagi tentera Turki untuk masuk ke kawasan Syria," kata Yilmaz kepada ahli Suruhanjaya Parlimen Turki apabila ditanya mengenai dakwaan Kementerian Pertahanan Syria berkenaan, dalam satu surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Yilmaz juga menafikan laporan yang mendakwa pesawat Arab Saudi telah tiba di pangkalan udara Incirlik sebagai persediaan memerangi militan Daish walaupun keputusan telah dicapai bagi Arab Saudi untuk menghantar empat jet F-16 kepada Turki.

Tentera Turki sebelum ini mengebom di kawasan sasaran militan Kurdish YPG (Unit Perlindungan Rakyat Kurdish) di utara Syria pada hujung minggu lalu, selepas kumpulan berkenaan merampas sebuah pengkalan udara di Aleppo, yang seterusnya merumitkan lagi konflik di sempadan selatan Turki.

Ankara menyifatkan YPG sebagai kumpulan pengganas dan merupakan kumpulan lanjutan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah berjuang menentang kumpulan pemberontak di selatan Turki selama 31 tahun.

Bagaimanapun, Washington tidak melihat YPG sebagai kumpulan pengganas, dengan menyatakan kumpulan itu menentang militan Daish di Syria.

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut menggesa Rusia pada Ahad lalu, untuk menghentikan serangan bom terhadap kumpulan pemberontak di Syria, sebagai tanda sokongan terhadap sekutunya, Presiden Bashar al-Assad.