Beberapa pengguna Twitter berkongsi video sebaik ombak berukuran 2 meter membadai pantai di kawasan Palu.
Astro AWANI sedang mendapatkan perkembangan terkini dan masih belum menerima sebarang laporan kematian di sana.
Agensi Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia sebelumnya telah menarik balik amaran tsunami selepas beberapa jam gempa itu berlaku.
Agensi Mitigasi Bencana Nasional dilaporkan berkata, mereka mengalami kesukaran untuk menghubungi pihak berkuasa di Donggala dan Palu memandangkan rangkaian telekomunikasi yang terjejas selain bekalan elektrik pula terputus.
"Banyak bangunan-bangunan yang telah ranap akibat gempa bumi," menurut juru cakap Sutopo Purtwo Nugroho dalam satu kenyataan hari ini.
"Penduduk panik dan terpaksa keluar meninggalkan kediaman mereka," katanya.
BACA: Ayah Pasha 'Ungu' risau keselamatan anaknya di Palu
Pelbagai video menggambarkan tsunami berkenaan mula viral sejak jam 9 malam tadi.
Nugroho turut berkata, pihak mencari dan menyelamat sudah mula dihantar ke kawasan yang dilanda tsunami.
Sejumlah 600,000 penduduk berada di Donggala dan Palu.
Buat masa ini, lapangan terbang Palu telah ditutup sejak 7.30 malam tadi.