Peguam Negara Venezuela pada Sabtu mengumumkan bahawa lima anggota polis telah ditahan kerana didapati bertanggungjawab dalam insiden kebakaran dan rusuhan penjara yang meragut nyawa 68 orang Rabu lepas.

Tarek William Saab, menerusi akaun Twitter, berkata kelima-limanya telah "didapati bertanggungjawab dalam peristiwa tragis yang menyebabkan kematian 68 orang di kurungan bawah tanah sebuah ibu pejabat polis."

Beliau berkata mereka yang ditahan termasuk Timbalan Pengarah Polis Carabobo, Jose Luis Rodriguez.

Saab berkata pejabat peguam negara "akan menjamin penjelasan fakta dalam peristiwa tragis ini dan menghukum mereka yang bertanggungjawab tanpa memilih bulu."

BACA: 70 terbunuh dalam kejadian rusuhan dan kebakaran di penjara Venezuela

BACA: Rusuhan penjara Venezuela: Ahli keluarga tunggu status


Pada Rabu, sejumlah 66 banduan dan dua pelawat wanita maut apabila kebakaran berlaku di Ibu Pejabat Polis Carabobo.

Pada hari yang sama, Saab telah mengarahkan empat pegawai penyiasat mencari punca di sebalik tragedi itu.

-- BERNAMA-NNN-XINHUA