NEW YORK: Tokoh politik terkemuka di New York, Amerika Syarikat memimpin tunjuk perasaan di Manhattan pada Sabtu bagi menyokong komuniti Asia-Amerika yang menjadi sasaran beberapa siri keganasan dan jenayah kebencian baru-baru ini.

Antara yang hadir ialah pemimpin Senat, Chuck Schumer, Peguam New York, Letitia James dan Datuk Bandar Bill De Blasio.

De Blasio dalam ucapannya menggesa sentimen kebencian terhadap mereka yang berketurunan Asia yang semakin meningkat ketika ini dihentikan.

“Kami tidak dapat menerima sentimen kebencian di New York. Hentikan.

“Inilah mesej yang harus kita sampaikan bukan hanya di New York tetapi juga di seluruh negara ini. Hentikan kebencian terhadap orang Asia, hentikan sekarang," tegasnya.

Komuniti  Asia-Amerika di New York menjadi mangsa serangan rambang dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Ini mendorong pihak berkuasa bandaraya itu untuk memperbaharui usaha menghentikan serangan tersebut.