Pemimpin parti Imran mendakwa tindakan keras dan kekejaman dilakukan oleh pasukan keselamatan terhadap penunjuk perasaan yang merempuh sekatan jalan untuk memasuki D-Chowk, sebuah dataran yang menjadi pintu masuk ke kawasan berkeselamatan tinggi yang menempatkan bangunan penting kerajaan termasuk Parlimen dan Pejabat Perdana Menteri.
"Kisah mengenai luka tembakan dan dakwaan tembakan rambang oleh pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang adalah fitnah dan sama sekali tidak benar," kata Dar dalam satu hantaran di media sosial.
"Penunjuk perasaan yang kononnya aman itu datang dengan bersenjata berat dan membawa kanister gas pemedih mata," katanya.
Antara yang mengetuai penunjuk perasaan ialah Ketua Menteri Wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Ali Amin Gandapur dan isteri Imran, Bushra Bibi.
Bekas perdana menteri yang sedang menghadapi pelbagai tuduhan jenayah termasuk rasuah dan keganasan itu telah menyeru perhimpunan besar-besaran di Islamabad sebagai "panggilan terakhir" untuk mendesak pembebasannya selepas lebih setahun dipenjara.
"Gerombolan itu bertekad untuk mencetuskan kekacauan dan sanggup membunuh. Pasukan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang kami menunjukkan kesabaran maksimum walaupun ada dalam kalangan mereka yang maut," kata Dar.
-- BERNAMA