SEOUL: Pasukan penyelamat menemukan tiga mayat di dalam sebuah bot yang karam di pantai barat daya Korea Selatan pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.

Air mula memasuki ruang enjin kapal, menyebabkan bot Cheongbo, seberat 24 tan terbalik pada 11.19 malam Sabtu kira-kira 16.6 kilometer dari barat pulau Daebichi.

Insiden itu menyebabkan sembilan daripada 12 nelayan, termasuk tiga warga asing, hilang manakala tiga lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh bot lain di tempat kejadian.

Penyelam menemukan seorang anak kapal yang hilang di dalam kabin kapal pada 3.22 pagi dan mengeluarkan mayat mangsa, kata pegawai Pengawal Pantai.

Mayat itu dikenal pasti sebagai ketua jurutera kapal berusia 60-an.

Dua lagi anak kapal - seorang warga Korea dan seorang lagi warga asing - kemudian ditemukan mati berhampiran buritan kapal oleh penyelam Pengawal Pantai.

Pasukan penyelamat mengalami kesukaran mengeluarkan mayat, di mana peralatan menangkap ikan dan pukat menghalang laluan mereka.

-- BERNAMA