JAKARTA: Sebuah bot milik Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) meletup di perairan Gita, Pulau Tidore, Maluku Utara pada Ahad malam, mengorbankan tiga nyawa manakala seorang lagi dilaporkan hilang.

Insiden berlaku sekitar pukul 11 malam waktu tempatan ketika bot jenis sea rider itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Ahmad Yani untuk membantu dua nelayan yang mengalami kegagalan enjin.

Letupan itu meragut nyawa dua anggota Basarnas dan seorang pegawai Polis Marin, manakala wartawan Metro TV, Syahril Helmi dilaporkan masih hilang.

"Kami sedang berkoordinasi dengan agensi penyelamat dan nelayan tempatan untuk mencari mangsa yang hilang dalam tempoh tujuh hari akan datang," kata Ketua Basarnas Ternate, Iwan kepada Metro TV.

Bot terbabit membawa 11 orang, termasuk tujuh anggota Basarnas, tiga pegawai Polis Marin dan Syahril.

Tujuh mangsa yang terselamat telah diselamatkan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

-- BERNAMA