Seorang paderi terbunuh pada Selasa dalam satu drama tebusan di sebuh gereja di Rouen, Perancis, ujar sumber polis.

Agensi berita AFP melaporkan, Kementerian Dalam Negeri Perancis memberitahu dua suspek yang menahan mangsa tebusan dalam serangan di pekan Saint-Etienne-du-Rouvray itu, sudah dibunuh.

Media tempatan melaporkan, seorang lagi mangsa yang cedera ditikam dalam keadaan kritikal.

Presiden Perancis Francois Hollande dan Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve juga difahamkan membuat lawatan mengejut ke lokasi kejadian.

Insiden itu berlaku ketika status keselamatan di Perancis masih di peringkat kawalan tinggi, berikutan insiden khalayak yang dirempuh pada Hari Bastille kira-kira dua minggu lalu.

Dalam kejadian berkenaan, seorang warga Perancis keturunan Tunisia, Mohamed Lahouaiej Bouhlel, merempuh orang ramai dengan trak di Nice, dan mengorbankan 84 nyawa serta mencederakan lebih 300 orang.

Serangan di Rouen adalah insiden ketiga seumpamanya di Perancis dalam tempoh 18 bulan dan kumpulan militan Daish mengaku bertanggungjawab ke atasnya.

BERITA LANJUT MENYUSUL