BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan Brunei tidak ada menawarkan atau melantik sebarang syarikat tempatan atau antarabangsa untuk melaksanakan projek Kereta Api Trans-Borneo.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa tiada perbincangan mengenai projek itu di peringkat kerajaan, termasuk antara negara dan pihak berkepentingan, lapor Xinhua.

''Untuk projek berskala sebesar itu, ia sememangnya memerlukan komitmen daripada setiap kerajaan terlebih dahulu," kata kementerian itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada isu mengenai projek itu.

Pada 1 April lalu, Kerajaan Malaysia memaklumkan tidak tahu mengenai cadangan sebuah syarikat membina rangkaian kereta api laju berkenaan bagi menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei, dan Kalimantan di Indonesia.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata projek seperti itu mesti mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada kerajaan, malah tender untuk kajian kebolehlaksanaan projek itu hanya dibuka pada Mei ini.

Baru-baru ini, Brunergy Utama Sdn Bhd yang berpangkalan di Brunei dilaporkan akan membina rangkaian kereta api laju berkenaan.