Bercakap kepada wartawan selepas sesi soal jawab tahunan di Moscow pada Khamis, Putin berkata siasatan itu tidak memberikan sebarang bukti yang Rusia bertanggungjawab terhadap insiden itu.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis turut berkata empat suspek yang didedahkan sebagai perancang insiden MH17 adalah kesimpulan politik untuk menyalahkan Rusia semata-mata.
Tegas Perdana Menteri, bukti itu juga dilihat sangat sukar untuk diterima.
BACA: MH17: 'Syukur...5 tahun menunggu akhirnya terjawab'
Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) pada sidang media di Belanda pada Khamis mendedahkan empat suspek sebagai perancang insiden MH17.
Tiga suspek merupakan warga Rusia, sementara seorang warga Ukraine dan ketika kejadian mereka bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Donetsk People's Republic.
BACA: MH17: Ini info mengenai suspek di sebalik nahas
Keempat-empat suspek akan dibicarakan di Belanda bermula 9 Mac tahun hadapan.
Dalam tragedi 17 Julai 2014, pesawat Malaysian Airlines meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.
Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh. Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.- Agensi