BANGKOK: Thailand memberi pengecualian visa kepada warga Jepun yang memasuki negara itu untuk urusan perniagaan jangka pendek, bertujuan untuk merangsang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Jurucakap Kementerian Luar Kanchana Patarachoke berkata Kabinet pada Selasa meluluskan pengecualian visa kepada pemegang pasport Jepun atau dokumen perjalanan sah yang memasuki negara itu secara sementara untuk tujuan perniagaan jangka pendek.

Beliau berkata mereka akan dilayani sebagai kes khas dan dikecualikan daripada mendapatkan visa dan dibenarkan tinggal selama tempoh tidak lebih dari 30 hari bermula 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.

"Pengecualian itu bertujuan untuk merangsang kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, khususnya melalui promosi perdagangan, pelaburan dan aktiviti perniagaan untuk merangsang ekonomi secara menyeluruh.

"Selain mempromosi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, Thailand memerlukan kepakaran Jepun dalam bidang seperti industri hijau, kenderaan elektrik, perkhidmatan bioperubatan, ekonomi digital, infrastruktur, pertanian dan pembangunan sumber manusia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa ini, pemegang pasport Jepun diberikan kebenaran masuk tanpa visa selama 30 hari ke Thailand untuk tujuan pelancongan.

-- BERNAMA