Menurut Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken, hubungan ekonomi yang kukuh antara Amerika Syarikat dan ASEAN juga dilihat sebagai teras kepada kerjasama berterusan ini.
Melalui komitmen berterusan ini, Washington juga berharap untuk membina masa depan yang lebih cerah dan stabil untuk semua.
“Hampir tiga tahun lalu, Amerika Syarikat melancarkan strategi untuk memajukan visi bersama bagi Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, makmur, saling terhubung, selamat dan berdaya tahan.
“Berkat usaha diplomasi yang konsisten, hubungan antara Amerika Syarikat dan rakan-rakan Indo-Pasifik, terutamanya ASEAN, kini lebih erat,” katanya.
Blinken berkata demikian semasa dalam satu pertemuan bersama delegasi media antarabangsa di American Center Vientiane di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang-Sidang Berkaitan, di sini, pada Jumaat.
Terdahulu, Blinken berada di Vientiane bagi mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak AS-ASEAN.
Selain itu, Blinken turut menekankan kepentingan kawasan Indo-Pasifik dalam membentuk masa depan global.
Malah, beliau pada masa sama menekankan peranan ASEAN serta penglibatan AS terutama di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden, dalam memajukan semua inisiatif yang dirancang di peringkat global.
“Peranan ASEAN adalah penting dan merupakan pusat kepada semua inisiatif global.
“Di Laos, perkongsian komprehensif AS terus memberikan manfaat kepada rakyat, dengan fokus kepada meningkatkan kesihatan ibu dan anak, serta usaha membantu inisiatif pembangunan mampan.
“Kerjasama antara AS dan ASEAN telah diperluas kepada pelbagai bidang, termasuk ekonomi dan pertahanan, kesihatan awam, tenaga bersih dan kesaksamaan gender.
“Pada tahun 2022, Biden mengumumkan permulaan era baru dalam hubungan AS-ASEAN, dengan menukarkan kerjasama tersebut kepada satu perkongsian strategik yang komprehensif,” tambahnya.
Tidak tertumpu kepada ekonomi dan pembangunan serta kemajuan teknologi semata-mata, Blinken antara lain berkata, AS akan terus komited dalam usaha membangunkan potensi individu dan masyarakat.
AS juga, katanya, akan terus konsisten memperkukuh hubungan antara negara-negara ASEAN, sambil memberi tumpuan kepada keperluan dan aspirasi lebih dari 1 bilion penduduk di rantau Indo-Pasifik.