Satu kesilapan yang dibuat, apatah lagi oleh seorang calon Presiden, tentunya akan menjadi perbualan masyarakat.

Sekalipun ia hanya kesilapan 'tersasul' yang kecil, ia tetap menjadi perhatian.

Itulah yang terjadi kepada calon Parti Republikan, Donald Trump yang didakwa tersilap menyebut tragedi 11 September (9/11) sebagai 7/11 (7-Eleven).

Ia menjadi bahan untuk netizen menyindir Trump, malah ada yang lebih serius apabila mempersoalkan kemampuan jutawan itu memimpin negara.




Malah aktres Hollywood, Salma Hayek juga tidak ketinggalan menyindir Trump.

Trump dilihat langsung tidak perasan akan kesilapan yang dilakukan ketika memberikan ucapan dalam perhimpunan terakhir sebelum pusingan pemilihan di New York, semalam.

Video: YouTube TrendingNowz
Namun sebahagian penyokong Trump berpendapat ia bukanlah satu kesilapan, kerana apa yang dimaksudkan Trump ialah pasukan bomba di Jalan 711, Central Park Avenue di New York yang merupakan pasukan penyelamat paling awal yang tiba di tempat tragedi pada hari berkenaan.



Bagaimanapun, tinjauan di blog reddit.com mendapati ramai yang tidak boleh menerima logik tersebut kerana tiada siapa di New York menggelarkan pasukan bomba tersebut sebagai 'seven eleven'.

Pusingan pemilihan di New York semalam menyaksikan kemenangan Trump dan pesaingnya dari Demokrat, Hillary Clinton.