KAHERAH:Beberapa tahun lalu, seorang anak muda di Mesir sanggup meninggalkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang arkeologi semata-mata untuk fokus kepada kerja 'memburu' kala jengking.

Sejak itu Mohamed Hamdy Boshta, 25 tahun, mencari haiwan berbisa itu di segenap pelosok padang pasir dan juga di pesisiran pantai negaranya.

Dia yang kini merupakan pemilik syarikat Cairo Venom, giat mengumpulkan bisa haiwan itu untuk kegunaan perubatan, lapor Reuters.

Selain memiliki kira-kira 80,000 ekor kala jengking di beberapa ladang di seluruh Mesir, syarikat itu juga menyimpan pelbagai jenis ular berbisa, semuanya untuk tujuan perubatan.



Kala jengking yang biasanya dicari menggunakan cahaya ultra-ungu itu kemudiannya dikenakan arus elektrik rendah - cukup untuk merangsang pengeluaran bisa.

Setiap gram bisa kala jengking boleh digunakan untuk menghasilkan antara 20,000 hingga 50,000 dos serum anti bisa.

Atas sebab itulah, satu gram bisa haiwan yang tergolong dalam pengelasan Arachnida itu boleh mencecah harga sehingga AS$10,000 (RM40,600).

Bisa serangga yang dikumpulkan itu seterusnya dieksport ke Eropah dan Amerika Syarikat, untuk digunakan dalam penghasilan anti-bisa dan pelbagai jenis ubat, termasuk untuk masalah kesihatan seperti hipertensi.





** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !