Presiden Perancis, Francois Hollande hari ini mengisytiharkan tempoh darurat bagi negara itu dilanjutkan tiga bulan lagi, susulan serangan trak di Nice pada Khamis.

Keadaan darurat dilaksanakan sejak serangan militan pada November lalu di Paris, dan dijangka ditarik balik pada 26 Julai.

Sementara pasukan keselamatan akan kekal berjaga-jaga, Hollande juga menggesa "pasukan simpanan operasi" Perancis untuk meningkatkan kekuatannya.

"Kami terpaksa memanjangkan tempoh darurat sehingga kami boleh pastikan yang undang-undang menyediakan kita cara untuk menentang ancaman pengganas dengan berkesan," katanya dalam satu temuramah di televisyen.

Beliau menggalakkan rakyat negara itu melawat Nice pada Jumaat bagi menyatakan sokongan.

Sekurang-kurangnya 84 orang terbunuh dan ramai lagi cedera apabila sebuah trak merempuh orang ramai di sebuah resort di Nice, selatan Perancis, selepas satu pertunjukan bunga api sempena sambutan Hari Bastille, menurut pendakwa.

Menurut laporan AFP, pemandu lori itu ditembak mati selepas kejadian itu yang menyaksikan ratusan orang yang ketakutan melarikan diri dan meninggalkan kawasan tepi pantai itu yang berselerak dengan jasad mangsa.