BALTIMORE: Pihak berkuasa Baltimore, Amerika Syarikat (AS) giat memburu suspek insiden tembakan yang mengakibatkan dua maut, manakala 28 lagi cedera dalam kejadian pada pagi Ahad.

Datuk Bandar Baltimore, Brandon Scott pada sidang akhbar menegaskan, pihak berkuasa tidak akan melepaskan mereka yang bertanggungjawab dalam serangan itu, yang disifatkan sebagai pengecut.

"Ini merupakan keganasan semberono dan pengecut yang telah meragut dua nyawa dan  menjejaskan banyak nyawa lain.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami akan mencari pihak yang bertanggungjawab dan  tidak akan berhenti sehingga berjaya melakukannya," katanya seperti dilapor AP.

Dalam masa sama, Scott meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu penyiasat bagi mengesan suspek.

Dia turut menggelarkan insiden tersebut sebagai tembakan beramai-ramai.

"Kami mahu (insiden) tembakan ini diperlakukan sebagaimana ia berlaku di kawasan pedalaman Amerika.

"Kami mahu semua orang tampil ke depan dan berkata (dedahkan maklumat kejadian), lakukan ini seolah-olah itu adalah anak perempuan, anak lelaki, adik beradik, atau sepupu anda yang berada di lokasi kejadian," ujarnya lagi.

Terdahulu, polis Baltimore memaklumkan menerima beberapa panggilan mengenai tembakan sejurus selepas jam 12:30 pagi Ahad waktu tempatan di kawasan kejiranan Brooklyn di negeri Maryland. -- Agensi