PETA Google akan menukar nama ‘Teluk Mexico’ kepada ‘Teluk Amerika’, sebaik sahaja ia dikemas kini secara rasmi dalam sistem nama geografi Amerika Syarikat (AS).

Menurut syarikat gergasi teknologi, Google, perubahan itu hanya akan dapat dilihat di AS, tetapi masih kekal sebagai Teluk Mexico di Mexico.

Di luar AS dan Mexico, pengguna akan melihat kedua-dua nama tersebut pada peta Google.

Jumaat lalu, Jabatan Dalam Negeri pentadbiran presiden Donald Trump mengumumkan secara rasmi penukaran nama Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.

Manakala puncak Alaska Denali, gunung tertinggi di Amerika Utara, ditukar kepada Gunung McKinley.

Peta Google, yang dimiliki oleh Google Alphabet, akan membuat perubahan sama dengan Gunung McKinley.

Trump mengarahkan perubahan nama tersebut sebagai sebahagian daripada tindakan eksekutif beberapa jam selepas memegang jawatan pada 20 Januari, memenuhi janji kempennya.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum awal bulan ini secara berseloroh mencadangkan Amerika Utara, termasuk AS, dinamakan semula sebagai ‘Amerika Mexico’, nama bersejarah yang digunakan pada peta awal wilayah itu.