Taufan kuat dan hujan lebat melanda selatan Jepun pada Selasa, menyebabkan beberapa kawasan perumahan ditenggelami air dan memaksa puluhan penerbangan dibatalkan.

Taufan yang dikenali sebagai Taufan Malakas tersebut mula melanda pulau-pulau utama di selatan Kyusu pada tengah malam dengan kelajuan sehingga 180km/j, menurut Agensi Meteorologi Jepun.

Rakaman televisyen daripada syarikat penyiaran NHK menunjukkan sebahagian kenderaan dan sawah padi diselaputi dengan air lumpur di wilayah Miyazaki.

Kejadian itu juga mencatatkan penerimaan air hujan sebanyak 578 milimeter di sebuah bandar hanya dalam masa 24 jam.

Seorang wanita dalam usia 30-an mengalami cedera ringan apabila angin kuat memecahkan tingkap rumahnya, sementara enam lagi diselamatkan apabila rumah mereka ditenggelami air.

Setakat ini, belum ada kecederaan serius atau kematian dilaporkan.

Menurut NHK, 106 penerbangan telah dibatalkan berikutan angin kuat memandangkan taufan tersebut menuju ke arah timur laut Tokyo.

Amaran ombak tinggi, kemungkinan tanah runtuh serta banjir telah dikeluarkan oleh pegawai rasmi Jepun.

Sekurang-kurangnya 17 maut pada awal bulan ini apabila Taufan Lionrock melanda Negara Matahari Terbit tersebut.

Sebelum Taufan Lionrock, dua taufan telah melanda negara berkenaan dan telah meragut dua nyawa di timur laut Jepun.

Pada tahun 2013, satu taufan kuat melanda negara tersebut yang seterusnya mengakibatkan tanah runtuh berlaku di Pulau Oshima. Kejadian itu meragut 40 nyawa, sementara 82 maut selepas satu taufan melanda Jepun pada 2011.