Taufan yang melanda negeri Oklahoma, Amerika Syarikat telah meragut dua nyawa dan mencederakan beberapa orang lagi, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan datuk bandar.

Taufan itu merosakkan sebuah hotel dan memusnahkan sebuah taman kediaman mudah alih di bandar El Reno pada Sabtu dalam tempoh semalaman, kata Datuk Bandar Matt White dalam satu sidang akhbar pada awal Sabtu.

"Kami telah mengalami satu kejadian yang begitu traumatik," kata White sambil menambah beberapa orang telah dikejarkan ke hospital di Bandar Oklahoma namun tidak menyatakan jumlah yang tepat.

Selepas tengah malam, satu lagi taufan disahkan melewati kawasan metro di selatan Tulsa.

Datuk bandar itu bagaimanapun tidak membeirkan butiran lanjut mengenai mangsa yang maut.

Minggu lepas, sekurang-kurangnya tiga orang maut apabila angin ribut yang kuat serta taufan membadai Missouri, menyebabkan kemusnahan besar-besaran.

Pada akhir Mei 2013, El Reno dilanda taufan terbesar dalam sejarah yang menyebabkan lapan orang terbunuh manakala 150 lagi cedera.

-- BERNAMA