ISTANBUL: Taiwan mula pulih secara beransur-ansur pada Jumaat selepas dilanda Taufan Krathon yang menjejaskan seluruh negara dan kepulauan sekitarnya.

Meskipun sebahagian besar pekerja dan para pelajar kembali kepada rutin harian mereka, beberapa kawasan masih ditutup susulan kesan buruk taufan itu, lapor Agensi Anadolu memetik Focus Taiwan.

Kawasan selatan Taiwan, termasuk Kaohsiung dan Pingtung County terjejas teruk akibat angin kencang dan hujan lebat yang dicetuskan oleh Taufan Krathon.

Pada Khamis, pihak berkuasa tempatan mengumumkan bahawa sekolah dan pejabat di kawasan terbabit akan terus ditutup bagi empat hari berturut-turut pada Jumaat.

Selain itu, kawasan lain yang turut terjejas termasuk Daerah Ruifang di New Taipei serta Kampung Heping dan Kawasan Rekreasi Tienhsiang di Xiulin Township, Hualien.

Kawasan-kawasan ini juga masih ditutup sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.

Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat, Taufan Krathon kini semakin melemah, dan kesannya semakin berkurangan di seluruh negara.

Namun, taufan itu mengakibatkan dua kematian dan mencederakan lebih daripada 100 orang di Taiwan.

Usaha pembaikan infrastruktur, pemulihan bekalan elektrik dan pembersihan sisa-sisa akibat ribut sedang giat dijalankan di kawasan terjejas.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan masih menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan memantau perkembangan cuaca, terutamanya di kawasan yang masih terkesan oleh bencana ini.

-- BERNAMA