Amerika Syarikat gempar selepas beberapa pucuk surat yang dihantar kepada presiden, Barack Obama dan seorang senator Republican mengandungi bahan beracun, ricin.

Menurut buletin perisikan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), beberapa pucuk surat tersebut dihantar dari Memphis, Tennessee.

Susulan penemuan beberapa pucuk surat itu, siasatan pihak polis kini terarah ke sebuah pejabat pos di Maryland.

Ekoran penemuan ricin dalam surat itu, semua surat yang dialamatkan ke White House dan bangunan kerajaan ditapis terlebih dahulu di sebuah lokasi terpencil sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut jurucakap White House, Jay Carney, FBI akan menjalankan ujian lanjutan bagi menentukan sifat kandungan bahan terbabit.

Bagaimanapun, FBI memaklumkan, tidak ada sebarang petunjuk yang mengaitkan penemuan ricin dan insiden letupan bom di Boston.

Ini kerana, surat yang dihantar kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Senator Roger Wicker bertarikh 8 April iaitu seminggu sebelum insiden tersebut.

Pihak berkuasa kini turut menyiasat penemuan sekurang-kurangnya tiga bungkusan mencurigakan di bangunan pejabat Senat selain penemuan surat-surat dari pejabat senator di Arizona dan Michigan.