LONDON: Individu dengan sistem imun badan rendah di England akan diberikan suntikan vaksin COVID-19 ketiga atau 'booster shot'.

Menurut Setiausaha Kesihatan UK, Sajid Javid, keputusan ini berdasarkan nasihat Jawatankuasa Bersama Vaksinasi dan Imunisasi (JCVI).

Malah jelasnya, suntikan penggalak itu akan diberikan kepada individu yang berusia 12 tahun ke atas dengan sistem imun badan rendah.

"Vaksin digunakan sebagai perisai sudah membuktikan kejayaan. Kami berpendapat, kita telah menyelamatkan 105,000 nyawa dan mengekang 24 juta jangkitan.

"Hari ini kita menerima dengan terbuka nasihat oleh JCVI bahawa mereka yang mempunyai sistem imun badan rendah akan diberikan suntikan ketiga," katanya.

Javid pada masa sama menegaskan, suntikan penggalak kepada golongan ini tidak sama seperti suntikan penggalak kepada individu yang sihat.

Namun, ia adalah sebahagian daripada vaksinasi utama yang dijadualkan buat golongan tersebut.

"Kami sudah menerima nasihat oleh JCVI dan mereka sangat jelas berkenaan suntikan ketiga ini perlu diberikan kepada individu berusia 12 tahun ke atas dengan sistem imun badan lemah dan itu yang akan kami laksanakan.

"Pastinya, perkara ini akan terus diperhalusi pada masa yang akan datang dan sekiranya mereka berpendapat lain dan perlu diberikan kepada golongan lain, kita akan turuti nasihat tersebut," katanya lagi.

Javid turut beri jaminan program 'booster shot' di negara itu tetap akan diteruskan seperti yang dirancang bermula akhir bulan ini.