Pencalonan mengejut Donald Trump yang dianggap calon presiden 'underdog' bagi parti Republikan sebelum ini memperlihatkan strategi kempen bukan konvensionalnya menjadi.

Pengasas Inisiatif Urustadbir, Hak Asasi Manusia dan Keadilan Sosial Serantau (Right) Yusmadi Yusoff, berkata pencalonan itu juga mengesahkan populariti jutawan perniagaan dari New York itu yang tidak pernah memegang sebarang jawatan awam sebelum ini.

Malah ia juga satu refleksi kepada hala tuju dasar negara 'Uncle Sam' di masa hadapan.

“Pencalonan ini menggambarkan dasar Amerika Syarikat ke hadapan dan semestinya perkara ini memberi impak kepada hal ehwal dunia.

“Trump bukan calon konvensional, beliau adalah calon yang menggambarkan politik masa kini iaitu reaksi kepada populisme yang mana seorang calon yang menolak cara politik lama,” kata Yusmadi ketika dihubungi Astro AWANI.

Dalam masa yang sama, Yusmadi yakin jika Republikan mampu mengekalkan momentum yang ada menjelang pemilihan presiden November ini sekali gus ia akan memberi cabaran sengit kepada parti Demokrat yang mempertaruhkan calon wanita pertama Hillary Clinton, isteri kepada bekas presiden, Bill Clinton.


Pemilihan Trump diumumkan secara rasmi di konvensyen parti berkenaan di Cleveland pada Selasa.

Trump dalam ucapan menerusi siaran video langsung turut menamakan Mike Pence sebagai calon naib presidennya.