Lelaki yang mendapat jolokan nama ‘Spiderman Perancis’ kerana gemar melakukan aksi memanjat bangunan tanpa bantuan peralatan khas, sekali lagi mencuri tumpuan apabila menawan bangunan pencakar langit di Barcelona pada Jumaat.

Orang ramai telah berkerumun di kaki bangunan untuk menyaksikan Alain Robert yang berusia 54 tahun itu menyelesaikan aksinya di Torre Agbar, lapor Reuters.

Menjadi salah satu struktur tertinggi di bandar raya itu, Torre Agbar merupakan bangunan pejabat yang seni binanya diperbuat daripada keluli dan kaca serta menjadi tarikan umum setiap kali malam menjelma kerana permainan pancaran cahaya.

Robert yang hanya menggunakan tulang empat keratnya untuk memanjat, berjaya sampai ke puncak bangunan tersebut dalam tempoh kira-kira sejam.

Torre Agbar merupakan bangunan pejabat 38 tingkat setinggi 144 meter. - Foto AP

Pemanjat bangunan tersebut selama ini terkenal dengan aksi beraninya memanjat bangunan atau struktur tinggi ikonik di seluruh dunia hanya berbekalkan serbuk kapur untuk mengesatkan tangan serta sepasang kasut mendaki yang bagus.

Kebanyakan aksi memanjat yang dilakukannya tidak mendapat izin daripada pihak pengurusan bangunan, pemilik bangunan mahupun pihak berkuasa.

Robert selama ini telah ‘berjaya' menawan lebih 100 struktur tinggi di seluruh dunia seperti Jambatan Golden Gate di San Francisco, Burj Khalifa di Dubai, Menara Eiffel di Paris dan Sydney Opera House.

Dia juga pernah cuba memanjat salah satu daripada Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur namun percubaannya digagalkan pasukan pengawal keselamatan.