Sepanjang tempoh seluruh dunia melalui keperitan fasa pandemik dua tahun lalu, negara pimpinan Kim Jong-Un itu dikatakan ‘bebas’ dari sebarang kes, memandangkan dasar menutup pintunya dikatakan menjadi sebab utama.
Kini, dengan kes penularan yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang disahkan maut, dan puluhan ribu lagi individu mula mendapat simptom demam, para pemerhati global sedang menumpukan perhatian pada perkembangan di Korea Utara.
BACA: COVID-19: 6 maut, puluhan ribu alami simptom demam di Korea Utara
Berikut adalah beberapa perkara yang diketahui tentang situasi semasa:
- Media Korea Utara, buat kali pertama mengedarkan gambar Kim Jong-Un yang memakai memakai pelitup muka sewaktu kemunculan umum sebagai langkah pencegahan jangkitan COVID-19.
- Ujian sampel virus yang dikumpulkan pada Ahad dari beberapa individu yang mengalami demam di Pyongyang, mengesahkan bahawa mereka dijangkiti varian Omicron.
- Skala penularan tidak dapat direkodkan kerana keterbatasan maklumat.
- Kegagalan untuk memperlahankan jangkitan boleh mengakibatkan kesan serius kerana negara itu mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang rendah, dan kebanyakan daripada 29 juta rakyatnya dipercayai belum divaksinasi.
- Pakar meramalkan, sekiranya situasi semasa menjadi lebih buruk, Korea Utara terpaksa merendahkan egonya dan meminta bantuan asing.
- Selama ini, Pyongyang telah menolak bekalan vaksin yang ditawarkan program pengagihan COVAX, dipercayai kerana Korea Utara meletakkan syarat pemantauan antarabangsa yang sangat ketat.
- Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata, pihaknya sedia membekalkan bantuan perubatan kepada Korea Utara, atas nama kemanusiaan. Hubungan kedua-dua negara kekal dingin sejak 2019 apabila rundingan tentang senjata nuklear tidak mencapai kata sepakat.
- Di Beijing, Kementerian Luar China memberitahu pihaknya sedia menawarkan bantuan kepada Korea Utara dalam usaha mengawal penularan. Korea Utara sebelum ini pernah menolak tawaran berkaitan bekalan vaksin dari China.
- Dalam berdepan masalah COVID-19, aktiviti tentera tetap diteruskan. Tentera Korea Selatan mengesahkan, beberapa jam selepas kes penularan disahkan, Korea Utara tetap melancarkan tiga peluru berpandu ke zon laut. Itu merupakan kali ke-16 ia berbuat demikian tahun ini.
- Antara langkah yang diambil sewaktu sekatan pergerakan dikuat kuasa adalah menjalankan kerja sanitasi di bangunan pejabat dan di kawasan perumahan, selain memanfaatkan sepenuhnya bekalan perubatan dalam simpanan negara.
- Walaupun menghadapi masalah penularan COVID-19, Jong-Un tetap mengarahkan kerja-kerja pembinaan dan pembangunan agrikultur serta beberapa projek kerajaan diteruskan, untuk mengukuhkan sistem keselamatan negara.