SINGAPURA: Singapura menggesa pembaharuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) termasuk mengekang pelaksanaan veto oleh lima anggota tetapnya (P5).

Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, dalam kenyataannya pada Debat Terbuka UNSC pada Rabu, berkata P5 -- China, Perancis, Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Rusia -- harus memberi tumpuan kepada matlamat yang lebih luas untuk menyampaikan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Bagaimanapun, trend peningkatan pelaksanaan veto menunjukkan kita tidak boleh menyerahkan perkara ini kepada P5 untuk mengubah tingkah laku mereka secara sukarela.

"Keahlian PBB yang lebih luas mesti mencapai persetujuan tentang bagaimana veto dilaksanakan pada masa hadapan, dan Singapura bersedia untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut di Perhimpunan Agung," katanya.

Kenyataan beliau boleh didapati di laman web Kementerian Luar.

Balakrishnan berkata pendekatan itu bukan untuk menceroboh mandat Majlis tetapi untuk berjaga-jaga daripada tindakan yang menghalangnya daripada memenuhi mandatnya.

Beliau berkata UNSC juga mesti melakukan lebih banyak usaha untuk mencegah konflik dan bekerjasama dengan lebih rapat dan berkesan dengan organ utama PBB yang lain untuk memudahkan amaran awal dan tindak balas.

"Artikel 99 Piagam PBB, sebenarnya, merupakan alat diplomasi pencegahan yang kuat. Saya gembira kerana Pakatan untuk Masa Depan merujuk kepada perkara ini.

"Bagaimanapun, Majlis ini perlu bertindak lebih cepat dengan tindak balas konkrit apabila Setiausaha Agung menggunakan Artikel 99, terutamanya untuk bencana kemanusiaan dan kekejaman besar-besaran," katanya.

Artikel 99 Piagam PBB menyatakan bahawa "Setiausaha Agung boleh membawa kepada perhatian Majlis Keselamatan apa-apa perkara yang, pada pendapatnya, boleh mengancam pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa."

Pada Disember tahun lepas, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menggunakan Artikel 99 Piagam PBB untuk menekan Majlis dan masyarakat antarabangsa secara amnya untuk menuntut gencatan senjata antara pihak-pihak yang bertelingkah dalam perang Gaza.

Balakrishnan juga membincangkan keperluan untuk mengukuhkan peranan Anggota Terpilih UNSC, juga dikenali sebagai Elected Ten (E10), dengan menyatakan bahawa E10 sering merapatkan jurang apabila P5 terperangkap dalam ketidakpercayaan dan kelumpuhan bersama.

"Memandangkan peranan penyambung E10 yang kuat, Anggota Terpilih harus mempunyai suara yang lebih besar dalam penulisan dasar dan membuat keputusan serta dibenarkan untuk memimpin atau bekerjasama dalam isu-isu utama, terutamanya mengenai wilayah masing-masing," tambahnya.

E10 ialah anggota tidak tetap UNSC, dipilih untuk penggal dua tahun oleh Perhimpunan Agung.

Negara itu adalah Algeria, Ecuador, Guyana, Jepun, Malta, Mozambique, Korea Selatan, Sierra Leone, Slovenia dan Switzerland.

-- BERNAMA