SINGAPURA: Singapura mengekalkan belanjawan pengembangan untuk menyokong ekonominya bagi tahun kewangan 2022 dan republik itu menjangkakan keseluruhan defisit berada pada S$3 bilion atau 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK).

Angka itu lebih rendah berbanding jangkaan keseluruhan defisit S$5 bilion atau 0.9 peratus daripada KDNK pada 2021, demikian menurut Menteri Kewangan Lawrence Wong yang menyampaikan Penyata Belanjawan Kerajaan Singapura bagi tahun kewangan 2022 di Parlimen pada Jumaat.

Dalam lampiran yang dikeluarkan kepada media, hasil operasi bagi 2022 dianggarkan berjumlah S$81.75 bilion berbanding anggaran jumlah perbelanjaan sebanyak S$102.41 bilion.

Bagi Belanjawan 2022, Singapura menggariskan empat pelan utama iaitu melabur dalam keupayaan baharu; memajukan peralihan hijau, memperbaharui dan memperkukuh kompak sosial; dan membangunkan struktur hasil yang saksama dan lebih berdaya tahan.

"Bagi memenuhi keperluan perbelanjaan baharu selain meningkatkan hasil, kita akan terus menguruskan pertumbuhan perbelanjaan kita," kata Wong.

Sejak tahun kewangan 2017, beliau berkata republik itu telah melaksanakan 2.0 peratus potongan belanjawan semua kementerian dan bahagian-bahagian fungsi penting negara bagi memastikan ia berbelanja dengan berhemat dan mencapai hasil yang dapat dimanfaatkan.

-- BERNAMA