JAKARTA: Sidang kemuncak G20 yang berlangsung di Bali, Indonesia melabuhkan tirainya pada Rabu, menyaksikan sidang kemuncak itu menerima pakai deklarasi yang mengesahkan komitmen untuk menjalin kerjasama menangani cabaran serius ekonomi global.

Pemimpin G20 sepakat menyatakan kemusnahan akibat pandemik COVID-19 dan perubahan iklim telah menyebabkan kemelesetan ekonomi, peningkatan kemiskinan, memperlahankan pemulihan global dan menghalang pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan.

Kebanyakan ahli G20 mengutuk sekeras-kerasnya krisis di Ukraine kerana ia menyebabkan penderitaan manusia selain memburukkan lagi ekonomi global, mengekang pertumbuhan, meningkatkan inflasi, mengganggu rantaian bekalan, meningkatkan harga tenaga dan ketidakstabilan makanan serta meningkatkan risiko kewangan.

Memandangkan terdapat pandangan lain dan penilaian berbeza terhadap situasi dan sekatan, G20 mengakui sidang kemuncak itu bukanlah forum untuk menyelesaikan isu keselamatan sehingga boleh membawa kesan ketara kepada ekonomi global.

Para pemimpin menekankan peranan penting perlu dilaksanakan dalam menegakkan undang-undang antarabangsa dan sistem pelbagai hala bagi melindungi keamanan dan penggunaan atau ancaman senjata nuklear tidak boleh diterima.

"Penyelesaian konflik secara aman, usaha menangani krisis serta diplomasi dan dialog adalah penting. Era hari ini tidak boleh berperang," menurut deklarasi itu.

G20 juga berikrar untuk menangani cabaran melalui persefahaman dasar makro antarabangsa dan kerjasama konkrit selaras dengan tema Indonesia selaku tuan rumah G20, 'Recover Together, Recover Stronger'.

Dalam ucapan pembukaannya pada Selasa, Presiden Joko Widodo dengan tegas meminta pemimpin G20 untuk menamatkan krisis di Ukraine.

Sidang kemuncak kumpulan itu berakhir pada Rabu dan Indonesia secara rasmi menyerahkan jawatan tuan rumah untuk tahun akan datang kepada India.

-- BERNAMA