MOSCOW: Jabatan Negara Amerika Syarikat menggesa warganya untuk segera meninggalkan Syria, lapor Sputnik/RIA Novosti.  

"Situasi keselamatan di Syria kekal tidak stabil dan sukar diramal, dengan pertempuran aktif antara kumpulan bersenjata di seluruh negara. 

"Jabatan Negara menggesa warga AS untuk meninggalkan Syria sekarang selagi pilihan penerbangan komersial masih tersedia di Damsyik," menurut kenyataan Kedutaan AS di Syria.  

Kenyataan itu juga menyebut bahawa operasi Kedutaan AS di Damsyik digantung sejak 2012, dan kerajaan tidak dapat menyediakan perkhidmatan konsular kepada warganya di Syria.  

"Republik Czech berperanan sebagai kuasa pelindung bagi kepentingan AS di Syria," menurut kenyataan itu.  

Pada 29 Nov, kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (dahulunya dikenali sebagai Nusra Front, yang diharamkan di Rusia) bersama beberapa kumpulan bersenjata lain melancarkan operasi besar-besaran terhadap kerajaan Syria, bergerak dari utara wilayah barat laut Idlib ke arah bandar Aleppo dan Hama.

 Sehari kemudian, Aleppo, bandar kedua terbesar di Syria berada di bawah kawalan penuh buat kali pertama sejak konflik bermula pada 2011.  

Pada 5 Dis, Kementerian Pertahanan Syria mengumumkan bahawa angkatan bersenjata Syria telah berundur dari bandar Hama selepas pertempuran sengit.  

-- BERNAMA