KUALA LUMPUR: Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia perlu melakukan sesuatu untuk membantu rakyat Palestin.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kekejaman yang ditunjukkan oleh rejim Zionis Israel ke atas umat Islam dalam serangan di Masjid Al-Aqsa harus dikutuk keras.

"Selain daripada mengutuk keras, kita juga harus mendesak kerajaan-kerajaan termasuk Malaysia untuk menyatakan sikap yang lebih tegas dan berbuat sesuatu untuk membantu meringankan beban rakyat di Palestin," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook pada Sabtu.

BACA: 200 rakyat Palestin cedera ditembak polis Israel di Masjid Al-Aqsa

BACA: Malaysia kecam pencerobohan, serangan tentera serta pendatang Yahudi di Masjid Al-Aqsa - Hishammuddin

Jelas Ketua Pembangkang itu lagi, serangan yang berlaku tatkala umat Islam sedang menunaikan solat adalah kejam serta zalim, dan ia akan berterusan sekiranya tiada tindakan segera dilakukan.

"Ini hanya membuktikan bahawa kekejaman berterusan kerana dunia lesu dan tidak bicara, tidak berani mempertahankan hak rakyat Palestin sebagai warganegara, untuk mempertahankan rumah dan harta benda mereka," tegasnya.


Israel Serbu | Sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera

Memetik kata ahli akademik kelahiran Palestin, Edward Wadie Said, ujar Anwar, permasalahan yang berlaku ketika ini adalah disebabkan 'Politics of Possession' yang menyebabkan hak rakyat Palestin dirampas.

"Apa yang kita nampak di Sheikh Jarrah adalah proses, bukan sahaja diskriminasi aparteid untuk menghakis, kalau boleh menghilangkan sama sekali kehadiran rakyat Palestin di sana," jelasnya.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 200 rakyat Palestin cedera selepas polis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menembak jemaah menggunakan peluru getah dalam kejadian di wilayah timur Baitulmaqdis.