KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat, Philippe Lazzarini mengulangi bahawa sekolah, kemudahan PBB dan infrastruktur awam tidak boleh menjadi sasaran serangan.

Beliau menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik Gaza untuk memastikan keselamatan orang awam dan infrastruktur awam pada setiap masa.

Lazzarini mengutuk pengeboman Israel ke atas sebuah sekolah di Gaza pada Sabtu, yang mengakibatkan kematian lebih 100 rakyat Palestin, termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.

"Satu lagi hari ngeri di Gaza. Satu lagi sekolah menjadi sasaran dengan laporan puluhan rakyat Palestin terbunuh antaranya wanita, kanak-kanak dan warga emas.

"Pihak-pihak dalam konflik tidak boleh menggunakan sekolah dan kemudahan awam lain untuk tujuan ketenteraan atau pertempuran.

"Sudah tiba masanya untuk menghentikan kekejaman yang berlaku di bawah pengawasan kita. Kita tidak boleh membiarkan apa yang tidak tertanggung menjadi norma baharu. Semakin kerap ia berlaku, semakin kita kehilangan kemanusiaan bersama," catatnya dalam hantaran di platform X, Sabtu.

Terdahulu, Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) melaporkan bahawa lebih 100 orang awam terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera berikutan serangan udara Israel ke atas Sekolah At-Tabe'een di kawasan kejiranan Daraj di Bandar Gaza.

Serangan dahsyat awal pagi itu menyasarkan sekolah berkenaan yang menempatkan keluarga yang dipindahkan ketika penduduk sedang menunaikan solat subuh.

Menurut sumber tempatan, serangan udara itu berlaku pada awal pagi ketika penghuni berkumpul untuk solat subuh.

-- BERNAMA