SEOUL: Menteri Pertahanan Korea Selatan Lee Jong-sup pada Khamis mendakwa bahawa Korea Utara sudah bersedia untuk menjalankan ujian nuklear "pada bila-bila masa."

Lee berkata demikian di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak akibat tindakan provokatif Korea Utara.

"(Korea Utara) telah pun menyiapkan persiapan untuk ujian nuklear ketujuhnya dan mampu menjalankan ujian nuklear pada bila-bila masa," kata Lee dalam satu taklimat kepada Ahli Parlimen.

Beliau berkata Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) telah merangka langkah ketenteraan bersama untuk bertindak balas terhadap kemungkinan ujian nuklear Korea Utara dengan tujuan untuk menunjukkan keupayaan pakatan mereka.

Selain itu Tentera Korea Selatan telah memperkukuh pemantauan ke atas tapak ujian nuklear Punggye-ri Utara, katanya.

Terdapat pelbagai pandangan mengenai bila ujian nuklear Korea Utara akan dilakukan.

Ada pihak yang menyatakan bahawa Korea Utara mungkin tidak menjalankan ujian dalam masa terdekat, memandangkan negara itu sudah memperoleh teknologi yang mencukupi melalui enam ujian nuklear, termasuk yang terakhir pada 2017.

Dalam taklimat itu, Kementerian Pertahanan turut menyentuh mengenai latihan ketenteraan Korea Selatan-AS baru-baru ini yang dijadikan alasan oleh Korea Utara untuk melancarkan ujian nuklear.

--BERNAMA-YONHAP