Menteri Pelancongan Cuba, Manuel Marrero dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara itu, sekaligus menjadi pegawai pertama yang memegang jawatan tersebut selepas tempoh 43 tahun.

Pelantikan Marrero, 56, dibuat atas cadangan Presidennya, Miguel Diaz-Canel selepas jawatan tersebut digugurkan dalam pentadbiran republik itu sejak 1976.

Difahamkan, ia merupakan sebahagian daripada proses perubahan daripada sistem lama yang disasarkan untuk melindungi pemerintahan Parti Komunis.

Marrero, yang merupakan seorang Jurutera Seni Bina memulakan kerjayanya pada 1990 sebagai pelabur di Kumpulan Hotel Gaviota di wilayah Timur Holguin.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pelancongan pada 2004 di bawah pentadbiran mendiang Fidel Castro, dan memegang jawatan tersebut sehingga pentabiran Diaz-Canel.

Bagi jawatan baharu, Marrero turut dibantu oleh enam timbalan perdana menteri termasuk pemimpin sejarah Revolusi Cuba, Komande Ramiro Valdes.