Sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh manakala ratusan yang lain terperangkap dalam satu kejadian letupan lombong arang batu bawah tanah di Manisa ke barat Turki.

Menurut Menteri Tenaga Turki, Taner Yildiz, sejumlah 787 pelombong terperangkap ketika kejadian letupan yang berlaku pada Selasa.

“Sehingga kini, kami telah berjaya membawa keluar 363 pelombong (termasuk 151 mayat),” katanya.

“Masa tidak memihak kepada kita (pasukan penyelamat), ” tambahnya.

ara mayat pelombong yang berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat - Foto AFP
Antara pelombong yang berjaya diselamatkan pasukan penyelamat dalam insiden letupan lombong arang batu bawah tanah di wilayah Manisa, Turki -- Foto AFP
GALERI FOTO KEJADIAN LETUPAN LOMBONG ARANG BATU TURKI
Pada awalnya, Datuk Bandar wilayah Manisa, Cengiz Ergun meletakkan angka kematian pada 157 orang.

Pasukan penyelamat kini sedang bertungkus lumus untuk sampai ke ruang dimana ramai pelombong yang terperangkap dan sehingga kini telah berjaya mengeluarkan 50 pelombong, kata satu sumber keselamatan kepada agensi berita AFP.

Kata sumber itu lagi, terdapat satu ruang di dalam lombong terbabit yang dapat membantu usaha menyelamat. Bagaimanapun laluan kedua tertimbus dengan sejumlah pelombong dipercayai terperangkap.

Letupan dipercayai berpunca daripada sebuah transformer elektrik yang rosak dan berlaku sekitar 1230 waktu GMT.

Ratusan penduduk mula berkumpul di lokasi sejurus terdengar bunyi letupan.

Ramai pelombong yang diselamatkan menghadapi masalah kesukaran bernafas dan batuk-batuk kerana terhidu asap dan habuk.

Manakala pasukan bomba, cuba membekalkan udara segar ke dalam terowong yang dilaporkan sedalam dua kilometer dari permukaan.

Kementerian Keselamatan Buruh dan Sosial Turki mengeluarkan kenyataan bahawa lombong terbabit telah diperiksa pada 17 Mac lalu dan didapati mematuhi segala peraturan yang ditetapkan.

Turki pernah mengalami kemalangan letupan lombong arang batu pada 1992 yang menyaksikan 263 pelombong maut di Zonguldak.

Soma adalah pusat penting perlombongan arang batu di Turki, dan salah sebuah pusat aktiviti ekonomi terpenting negara itu.