MOSCOW: Sekurang-kurangnya 13 orang terkorban dalam letupan serius di sebuah stesen minyak di republik selatan Rusia, Dagestan pada petang Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa) yang memetik media Rusia.

Dua daripada mangsa yang terkorban adalah kanak-kanak, dan 11 orang cedera dalam letupan itu, menurut agensi berita Rusia TASS yang memetik pihak berkuasa kesihatan wilayah berkenaan.

Hari ini, (Sabtu) diisytiharkan sebagai hari berkabung di Dagestan.

Punca letupan masih belum diketahui dan sedang disiasat. Bagaimanapun, faktor serangan telah diketepikan dan Jawatankuasa Siasatan Negara Rusia menyatakan tiada kesan bahan letupan ditemukan di lokasi kejadian.

Letupan itu berlaku di pinggir ibu kota wilayah, Makhachkala.

Stesen minyak terlibat mengalami kerosakan teruk dan pencemar daripada letupan dan kebakaran susulan diukur jauh melebihi had yang dibenarkan untuk jarak antara 300 hingga 500 meter, menurut pihak berkuasa.

Letupan serupa di stesen minyak pernah berlaku di Makhachkala pada Ogos 2023 yang mengakibatkan 37 orang terkorban dan 80 cedera.

Pemeriksaan stesen minyak di wilayah itu kemudiannya mendapati banyak pelanggaran keselamatan.

-- BERNAMA