KUALA LUMPUR: Sukar untuk mendapatkan bekalan makanan, talian komunikasi yang terhad dan risiko keselamatan yang tinggi susulan rusuhan ganas yang melanda Bangladesh antara perkara yang menghantui pelajar Malaysia yang terkandas.


Ringkasan AI
  • Pelajar Malaysia di Bangladesh menghadapi kekurangan bekalan makanan, talian komunikasi yang terhad, dan risiko keselamatan tinggi akibat rusuhan ganas, dengan simpanan wang tunai yang semakin kritikal.
  • Ahmad Wafiq Aqil, pelajar Malaysia di Mymensingh Medical College, berkongsi detik cemas seorang pelajar perempuan yang hampir menjadi mangsa rusuhan semasa dalam perjalanan ke lapangan terbang.
  • Rusuhan berpunca daripada bantahan rakyat terhadap sistem kuota penjawatan perkhidmatan awam Bangladesh yang memberi kelebihan kepada keturunan pejuang kemerdekaan, mengakibatkan lebih 100 orang terkorban dan gangguan besar terhadap komunikasi internet dan telefon.


Pelajar Malaysia di Mymensingh Medical College Bangladesh, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul berkata, simpanan wang tunai kebanyakan pelajar terjejas juga kini berada di tahap yang kritikal untuk kelangsungan hidup.

“Bekalan asas dan kewangan sangat terhad. Mereka mungkin tidak boleh bertahan lama jika lebih banyak masa diambil sebelum bertindak (evakuasi).

“Setakat maklumat terkini yang saya dapat, kita ada lebih kurang 56 pelajar. Kami masih menunggu keputusan daripada Wisma Putra dan kedutaan mengenai proses seterusnya yang akan dilakukan. Kita sangat harapkan ia disegerakan,” katanya.

Beliau yang telah selamat tiba di tanah air pada 18 Julai, berkata demikian ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI pada Ahad.

Ahmad Wafiq Aqil turut berkongsi detik cemas yang dihadapi oleh seorang pelajar perempuan Malaysia yang terkandas dalam perjalanan ke lapangan terbang dan hampir menjadi mangsa rusuhan.

“Saya dapat maklumat daripada beliau, semasa hubungan internet masih ada, bahawa ada pertembungan dan insiden bakar tayar oleh orang awam. Dia dan penumpang lain melarikan diri untuk dapatkan perlindungan.

"Syukur mereka selamat sampai ke kediaman. Saya diberitahu emosinya agak terganggu berikutan kejadian tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai keberadaan pelajar Malaysia yang lain, Ahmad Wafiq Aqil berkata, dia difahamkan tiga orang telah selamat kembali ke tanah air sekitar 3 petang Sabtu, manakala tiga lagi masih terkandas di Kedutaan Malaysia, Dhaka, dan menunggu status penerbangan pulang.

Menurutnya lagi, rusuhan yang berlaku berpunca daripada bantahan rakyat terhadap sistem kuota penjawatan perkhidmatan awam Bangladesh, yang memberi kelebihan kepada keturunan pejuang kemerdekaan negara itu.

“Rusuhan ini tercetus akibat protes rakyat terhadap kerajaan disebabkan kuota kerajaan (dalam perkhidmatan awam) yang tinggi, menurut mereka, untuk pejuang kemerdekaan. Satu demonstrasi telah dilakukan di sebuah universiti iaitu di Dhaka University

“Demonstrasi ini berlangsung secara aman ketika itu. Cuma, sewaktu demonstrasi tersebut, ada satu kumpulan prokerajaan yang telah melakukan keganasan kepada peserta demonstrasi. Ini merupakan kemuncak (pencetus) kepada berlakunya rusuhan di Bangladesh. 

“Sewaktu keberadaan saya di Bangladesh pada 17 Julai. Pelajar kolej saya sendiri terlibat adakan demonstrasi yang mana mereka berarak di sekeliling hospital. Kami pelajar Malaysia tidak mengambil bahagian atas faktor keselamatan. 

“Saya berada di kediaman dan pada malam tersebut saya ambil keputusan untuk pulang ke Malaysia kerana jangka keadaan akan semakin memburuk. Saya balik pada 18 Julai dan selamat tiba di Malaysia,” jelasnya.

Setakat Sabtu, dilaporkan lebih daripada 100 orang terkorban dalam protes itu sejak keganasan tercetus pada Selasa. Sekurang-kurangnya 56 kematian dilaporkan pada Jumaat, menurut BBC Bangla yang memetik akhbar Prothom Alo dan The Daily Star.

Berita daripada saluran ini dan media tempatan lain tidak dapat diakses dalam talian pada Sabtu, selepas kerajaan memotong sebahagian besar sambungan Internet, telefon dan SMS. Angka korban belum disahkan secara rasmi.