WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) sifatkan draf resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang dikemukakan Algeria sebagai tidak adil.

Draf itu menuntut Israel henti serangan di Rafah serta merta, menguatkuasa gencatan senjata di Gaza dan pembebasan semua tebusan yang ditahan oleh Hamas.

Menurut jurucakap Jabatan Negara AS, Vedant Patel, resolusi itu gagal menyatakan bahawa Hamas adalah pihak yang perlu disalahkan dalam konflik Israel-Palestin.

"Kami sedar tentang draf resolusi yang telah dikemukakan Algeria dan telah memberikan maklum balas. Tetapi saya menyedari bahawa ia tidak seimbang dan ia gagal untuk mencatat fakta mudah, iaitu Hamas yang harus dipersalahkan untuk konflik ini.

"Adalah penting bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak melupakan peranan Hamas dalam konflik ini atau mengabaikan pelanggaran undang-undang antarabangsa yang berulang kali dilakukan," katanya.

Draf itu dikemukakan Algeria dalam mesyuarat tertutup UNSC mengenai situasi di Gaza.

Wakil tetap Algeria ke PBB, Amar Bendjama berkata, draf itu bertujuan "menghentikan pembunuhan di Rafah".

Kandungan teks itu antaranya memutuskan bahawa Israel sebagai penjajah dan rejim itu harus segera menghentikan serangan ketenteraannya dan sebarang tindakan keganasan lain di Rafah.

Algeria juga memetik keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa minggu lalu yang mengarahkan Israel menghentikan serta-merta serangan tenteranya ke atas Rafah, dalam keputusan tergempar penting susulan kes Afrika Selatan yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Draf resolusi ini dijangka dikemukakan untuk pengundian dalam masa terdekat.