PATTAYA: Seorang remaja parah cedera di kepala selepas ditikam dalam kejadian pergaduhan berpunca daripada pertikaian mengenai bunyi kuat ekzos motosikal.

Insiden itu berlaku pada jam 1.06 pagi, 14 Mac lalu, di Soi Wat Boon Samphan.

Pusat Penyelamat Sawang Boriboon Thammasathan menerima laporan serangan itu sebelum bekerjasama dengan anggota Balai Polis Nong Prue bagi menangani keadaan.

Ketika tiba di lokasi, pasukan penyelamat menemui mangsa berusia 15 tahun, dikenali sebagai Jeng, mengalami luka teruk di kepala akibat serangan senjata tajam. Tubuhnya berlumuran darah dan dikelilingi rakan-rakannya.

Pasukan penyelamat memberikan rawatan awal sebelum membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, suspek yang bertanggungjawab telah melarikan diri sebelum polis tiba.

Jeng memberitahu polis bahawa kejadian bermula ketika dia dan rakan-rakannya menunggang motosikal untuk membeli makanan ringan. Bunyi kuat ekzos salah sebuah motosikal kumpulannya menyebabkan sekumpulan remaja lain berang dan mula menghina mereka.

Seorang rakan Jeng membalas cercaan itu.

Dalam perjalanan pulang, mereka terserempak dengan tiga individu daripada kumpulan yang sama sedang menunggu mereka.

Suspek mengejar dan menyerang kumpulan Jeng menggunakan pisau, menyebabkan dia hilang kawalan motosikal dan terjatuh. Ketika itulah kepalanya ditikam dengan senjata tajam, menurut laporan The Pattaya News.

Polis menasihatkan Jeng untuk membuat laporan rasmi di Balai Polis Nong Prue bagi membantu siasatan dan tindakan undang-undang ke atas suspek. - Sinar Harian memetik agensi