SEBERANG PERAI: Polis menahan dua remaja yang terlibat dalam aksi tunggangan motosikal berbahaya di Jambatan Kedua Pulau Pinang, selepas video perbuatan itu tular di media sosial. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supt Chong Boo Khim dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima laporan pada jam 10.30 pagi mengenai video yang dimuat naik di sebuah laman media sosial.

Video tersebut memaparkan dua penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya, termasuk berbaring di atas motosikal (Superman) dan menundukkan kepala, yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. 

Bertindak atas maklumat itu, pasukan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seberang Perai Selatan menahan kedua-dua suspek di kediaman masing-masing di Bukit Mertajam dan Simpang Ampat sekitar jam 12.00 tengah hari. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan lalu lintas berbahaya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menularkan atau menggalakkan aktiviti seperti ini serta memantau pergerakan anak-anak mereka. 

Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sjn Mohd Ridzuwan bin Hamdi di talian *012-9564407* atau melalui Bahagian Penguatkuasaan Trafik Seberang Perai Selatan di talian *04-5858222*.