SINGAPURA: Seramai 236 suspek dalam kes penipuan sedang disiasat susulan operasi selama dua minggu yang dijalankan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF).

Suspek terdiri daripada 158 lelaki dan 78 wanita berumur antara 14 dan 72 tahun.

Mereka dikenal pasti selepas satu operasi oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial dan pihak polis dari 25 Februari dan 10 Mac.

Kesemua mereka dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 787 kes penipuan, termasuk love scam, penipuan e-dagang, penyamaran, penipuan pelaburan serta penipuan pekerjaan dan pinjaman, kata SPF dalam kenyataan pada Jumaat.

Jumlah kerugian yang dicatatkan pula ialah kira-kira S$5.1 juta.

“Semua suspek sedang disiasat atas dakwaan kesalahan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen,” kata SPF seperti yang dipetik CNA.

Jika didapati bersalah melakukan pengubahan wang haram, mereka boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga maksimum S$500,000, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang disabitkan dengan kesalahan menjalankan perniagaan perkhidmatan pembayaran di Singapura tanpa lesen berdepan hukuman penjara tiga tahun, denda sehingga S$125,000, atau kedua-duanya sekali.

“Polis mengambil sikap serius terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam penipuan, dan penjenayah akan dikenakan hukuman mengikut undang-undang.

"Orang ramai perlu berhati-hati dan tidak membenarkan orang lain menggunakan akaun bank atau talian mudah alih anda kerana anda akan bertanggungjawab jika ini dikaitkan dengan jenayah," kata SPF.